Thursday, July 28, 2011

Keistimewaan durian BUKIT GANTANG!!!!

(Gambar dr google je)

BUKIT GANTANG 27 Julai – Setiap kali tiba musim buah-buahan, tumpuan penggemar tempatan pasti lebih terarah kepada buah yang mendapat jolokan ‘raja buah’ iaitu durian.

Malah, bagi mereka yang begitu menggemari buah tersebut, harga bukan menjadi satu masalah walaupun kadang-kala ia dijual dengan harga yang tidak munasabah.

Maka, tidak hairanlah sekiranya setiap kali tiba musim buah-buahan, lambakan buah itu dapat dilihat di sepanjang jalan.

Jenisnya pula, pelbagai, bermula dengan durian kampung, D24, Udang Merah D175, Labu D163, Hati Merah Ang Jin dan Isi Merah D164.

Itu tidak termasuk jenis durian yang diklon seperti Musang King, MDUR 78, MDUR 79 dan MDUR 88.

Bagaikan pesta, raja buah ini diserbu penggemarnya sehingga para peniaga terpaksa bersaing untuk memberikan harga terbaik kepada pelanggan mereka.

Namun, apabila memperkatakan mengenai durian, para penggemar durian pasti bersetuju jika dikatakan durian dari Bukit Gantang memiliki keenakan yang tiada tolok bandingnya.

Malah, hampir setiap tahun, pasti ada pihak yang akan menganjurkan pesta makan durian Bukit Gantang bagi menyajikan keenakan durian itu kepada penggemarnya.

Baru-baru ini bertempat di Dataran Long Jaafar dekat sini, Kementerian Pelancongan dan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan menganjurkan Pesta Durian Perak 2011.

Pesta yang turut mendapat kerjasama kerajaan negeri itu mendapat sambutan luar dugaan apabila diserbu kira-kira 5,000 penggemar durian.

Sebanyak 50,000 biji durian yang dibekalkan oleh 18 peraih durian disediakan pada pesta selama dua hari itu.

Bagi penggemar durian, Roslan Amri, 32, durian Bukit Gantang sememangnya dikenali kerana mempunyai keistimewaan tersendiri.

Katanya, walaupun durian Bukit Gantang kelihatan sama seperti durian lain daripada bentuk fizikalnya namun, isinya yang lebih manis dan lemak memberi kepuasan berganda apabila dinikmati.

“Makan durian bukan sahaja untuk kenyang tetapi untuk kepuasan. Apabila kita makan, kita perlu rasa seronok dengan rasanya.

“Oleh itu, jika mahu merasai rasa durian yang sebenar, datang ke Bukit Gantang kerana di sini anda akan temui rasa durian kampung yang sebenar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Rakannya, Rashdan Idris, 40, berkata, menikmati durian yang baru gugur dari pokok memang cukup mengasyikkan.

“Ini kerana isinya yang tebal berwarna oren kekuningan dan hadir dengan aroma yang unik.

Tekstur isinya lebih halus manakala rasanya cukup berlemak, tidak begitu manis dan ada rasa pahit di hujungnya.

“Durian Bukit Gantang mempunyai rasa yang tersendiri. Ini kerana setiap durian kampung daripada pokok yang sama tidak akan memberi rasa yang serupa.

“Malah, dalam sebatang pokok pun, kita masih berpeluang menikmati rasa durian yang berlainan,” jelasnya.


Sumber : UTUSAN MALAYSIA

2 comments:

safurara said...

sana sini cite pasal duriannnn.

Sheila Adziz said...

sedapnya... musim buah merata-rata...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...