MELAKA: Akibat mematuhi pesanan arwah suami supaya kematiannya tidak dihebahkan, seorang pengawal keselamatan didenda RM250 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam selepas mengaku salah terhadap tuduhan menyembunyikan kematian dan tidak mendaftarkan kematian suaminya pada Oktober tahun lalu.
Majistret Muhammad Hazri Hanafi menjatuhkan hukuman itu terhadap Zaini Malek (gambar), 48, dan mengarahkan tertuduh dipenjara tiga hari jika gagal membayar denda.
Zaini mengaku bersalah terhadap tuduhan bahawa dia sebagai isteri kepada Abd Halim Manan, 70, pada masa kematiannya atau merawati ketika sakitnya adalah orang yang layak untuk memberikan maklumat kepada pendaftar kelahiran dan kematian berikutan kematian itu di Lot 282, Batu 4 1/2, Jalan Kampung Batu Berendam, pada 3 hingga 6 Oktober 2010.
Bagi pertuduhan itu, Zaini didakwa mengikut Seksyen 35(e), Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian yang memperuntukkan hukuman denda RM250.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam ketika rayuan memohon mahkamah meringankan hukuman dengan mempertimbangkan pengakuan salahnya dan dia sebatang kara serta perlu membayar sewa rumah.
“Mohon hukuman dikurangkan kerana saya tidak mempunyai anak dan tinggal seorang, mungkin masa kejadian saya fikir macam-macam. “Sebelum meninggal, suami pesan jangan beritahu sesiapa. Saya tahu jenazahnya perlu disempurnakan, tetapi mungkin ketika itu saya dirasuk syaitan,” katanya.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Inspektor Muhather Mohd Kudus.
Muhammad Hazri yang mempertimbangkan pengakuan salah tertuduh kemudian memerintahkan tertuduh membayar denda RM250 dan jika gagal dipenjara tiga hari.
Sumber :HMETRO
No comments:
Post a Comment