KUALA TERENGGANU: “Saya tak pernah terfikir sampai ke situ,” kata pelakon terkenal, Rozita Che Wan, 37, yang menyangkal dakwaan dia terkena sihir atau penyakit misteri sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital dua kali sepanjang bulan lalu.
Sehubungan itu, ibu tunggal kepada dua anak itu meminta orang ramai terutama peminatnya tidak membuat sebarang andaian buruk terhadap status kesihatannya dan menjelaskan dia kini sudah pulih. Menurutnya, pada awal Jun lalu, dia dimasukkan ke Pusat Perubatan Sime Darby Subang Jaya, Selangor kerana mengalami kecederaan pada kaki kanan akibat terjatuh dari tangga rumahnya sehingga menyebabkan ligamen kakinya terkoyak.
Rozita berkata, ketika kejadian kira-kira jam 9 malam itu, dia baru saja pulang daripada penggambaran episod terakhir drama bersiri Anissa yang kini bersiaran menerusi slot Samarinda di TV3.
“Pada awalnya saya sangka hanya sakit biasa, tetapi ketika hendak tidur kaki saya semakin sakit dan segera menghubungi abang saya meminta dia menghantar ke hospital.
“Ketika hendak mendapatkan rawatan, kaki saya terlalu sakit dan tidak boleh berjalan. Saya terpaksa didukung abang untuk ke kereta sebelum dibawa ke hospital,” katanya ketika ditemui pada Pertunjukan Peragaan Fesyen Garden Of Bliss oleh butik Klasique dan My Couture di sebuah hotel di sini, kelmarin.
Menurutnya, selepas pemeriksaan x-ray dilakukan, doktor mendapati ligamen kakinya terkoyak dan dia diberi rehat seminggu serta terpaksa bercuti daripada sebarang penggambaran.
“Doktor kata ia tidak teruk, tapi saya perlu kurangkan berjalan dan tidak boleh bekerja sehinggalah saya betul-betul sembuh,” katanya.
TEKAN SINI utk cerita lebih lanjut
No comments:
Post a Comment