CINTA Norman Hakim dan Memey Suhaiza ibarat dipugar dalam gerhana, walaupun demikian, tuah tetap menyebelahi mereka. Ketika persiapan perkahwinan yang dijadualkan berlangsung pada 24 September di Felda Tenggaroh Selatan 1, Kota Tinggi, sedang rancak diuruskan, sekali lagi pasangan sensasi itu mengejutkan ramai.
Dalam pada kes tangkap khalwat yang masih berbaki di mahkamah, siapa sangka, pasangan yang bukannya dari 'papan atas' itu akan diraikan dalam sebuah majlis resepsi eksklusif yang ditaja sepenuhnya dengan nilai keseluruhan bernilai hampir mencecah RM12 juta. Dahsyat bukan?
Majlis resepsi di Crown Plaza Mutiara Hotel pada 28 September diadakan eksklusif untuk selebriti dan media. Pasangan itu memilih tema perkahwinan gaya Amerika sentuhan Nas Great Idea. Kos untuk dekorasi sahaja mencecah RM150,000.
Ibarat bulan jatuh ke riba, Norman, 35, dan Memey, 23, juga menjadi pasangan pengantin selebriti pertama Malaysia yang akan menerima sepasang kasut rekaan khas daripada pereka kasut terkemuka dunia, Datuk Jimmy Choo. Memey, 23, juga akan memakai dua persalinan gaun, setiap satu bernilai lebih RM500,000 tajaan Rafflesia untuk majlis persandingan dan acara memotong kek.
Memey juga diberitakan akan mengenakan dua set barangan kemas bernilai RM2.8 juta, merangkumi anting-anting, gelang tangan, cincin dan tiara. Perkara itu disahkan dalam satu majlis sidang media khas bersama penaja utama, Rafflesia serta penaja-penaja lain di ibu kota, Jumaat lalu.
Sensasi Bintang: Bagaimana boleh tercetusnya idea untuk majlis resepsi sebegitu rupa?
NORMAN (N): Lebih kurang tiga minggu lalu, saya dan Memey hanya diminta oleh Bill Bora untuk memberitahu tarikh perkahwinan kami, dia yang bertanggung jawab menjadi perancang perkahwinan kami dan semua ini dilakukan atas usahanya, sedangkan saya langsung tidak berhajat untuk mengadakan sebarang majlis resepsi di Kuala Lumpur selain di Johor.
Sekarang segala-galanya ditaja malah kos penganjuran majlis resepsi itu hampir mencecah RM12 juta, bagaimana perasaan kalian?
N: Saya tidak mampu untuk meluahkan dengan perkataan. Macam tak percaya pun ada juga, sangat gementar dan takut. Rasa macam nak bersanding di dunia fantasi pula. Yelah, saya rasa kerdil sangat tetapi semua ini berlaku kepada saya dan Memey. Saya cuma diberitahu akan hal ini semasa baru tiba dari Bandung. Hari ini (kelmarin) pula ia menjadi tajuk utama dalam akhbar. Pada saya, ia sesuatu yang luar biasa dan apabila perkara ini diberitahu kepada ibu saya, dia kata, ini mungkin hikmah atas apa yang telah kami alami sebelum ini.
MEMEY (M): Saya mula mengenali Bill pada 2007 dan beberapa kali terlibat dengan pihak Rafflesia tapi apa yang saya dapat hari ini sangat mengejutkan, saya sendiri masih cuba untuk mempercayainya.
Diuar-uarkan dengan sebegitu rupa, kelihatannya majlis persandingan itu menjadi pesta jenama atau perkahwinan bisnes?
N: Semua ini di luar imaginasi, kami hanya merancang untuk majlis persandingan di Johor sahaja, tetapi jujurnya saya melihat majlis berkenaan sebagai keraian mendatangkan faedah kepada kedua-dua pihak, macam situasi menang-menang. Saya ambil peluang ini sebagai kolaborasi atau kerjasama dua hala.
Khabarnya akan ada artis luar negara dijemput untuk menyerikan dan membuat persembahan pada majlis kalian.
N: Kami ada diberitahu, tapi biarlah ia tidak diumumkan terlebih dahulu.
Adakah Norman bercadang akan menjemput bekas isteri dan anak-anak?
N: Saya ada berhajat. Insya-Allah sebab segala masih dalam perancangan. Saya dan bekas isteri ada berhubung, dia mengucapkan tahniah kepada saya, yang penting sekarang soal anak-anak.
Sumber : KOSMO
4 comments:
Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siap yang tahu... Allhamdulillah...
Rezeki masing2...:)
ha..ha.. sensasi
no comment...kita tengok outcome nya nanti
Post a Comment