KOTA TINGGI: Panik apabila terpaksa melahirkan anak luar nikahnya sebelum sempat sampai di hospital, seorang wanita sekadar melahirkan bayi itu di ladang kelapa sawit Felda Air Tawar 3 di sini, sebelum meninggalkan bayi itu di atas but kereta penduduk kampung.
Kejadian berlaku kira-kira jam 3 pagi pada 14 Julai lalu dan terdahulu, wanita berusia 20 tahun itu dalam perjalanan dari Pengerang ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk melahirkan anak ditemani teman lelakinya berusia 25 tahun.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Muhammad Shamsuddin pada sidang media semalam berkata, sebelum sempat tiba di HKT, wanita itu berasa sakit untuk bersalin lalu berhenti di ladang kelapa sawit di tanah rancangan berkenaan.
“Akibat panik selepas melahirkan anak luar nikah, pasangan itu berpatah semula ke Pengerang dan meninggalkan bayi masih bertali pusat itu atas kereta penduduk Felda Sungai Mas, kira-kira 30 kilometer dari Felda Air Tawar 3.
“Bayi lelaki dibalut kain itu ditemui seorang lelaki berusia 39 tahun ketika menghantar anaknya ke sekolah kira-kira jam 7 pagi.
“Dia memaklumkan penemuan itu kepada isterinya sebelum mereka menghantar bayi seberat tiga kilogram itu ke hospital,” katanya.
Menurutnya, penemuan itu menggemparkan penduduk tanah rancangan berkenaan dan sehari selepas kejadian, wanita terbabit tampil menjenguk bayinya itu di hospital.
Katanya, selepas ditanya pengurusan hospital, wanita terbabit mengaku meninggalkan bayi berkenaan sejurus selepas dilahirkan di kawasan semak ladang sawit itu dan pemeriksaan lanjut mengesahkan dia baru bersalin.
TEKAN SINI utk cerita lebih lanjut
No comments:
Post a Comment