Saturday, July 23, 2011

Hanya sempat bersama 50 hari.....




GUA MUSANG: Amat memilukan bagi pasangan suami isteri kerana hanya sempat mencurah kasih sayang kepada anak sulung yang dilahirkan 50 hari lalu sebelum bayi perempuannya itu maut selepas tercampak dari van dinaiki dalam kemalangan di Kilometer 67, Jalan Kuala Krai-Gua Musang, petang kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 7.30 malam dekat Kampung Sungai Lakit, di sini, berlaku ketika pasangan berkenaan bersama bayi perempuannya, Siti Nur Sazlina Mohd Sazwadi dan empat lagi ahli keluarga mereka dalam perjalanan dari Kuala Krai ke rumah mereka di Ladang Serasa, dekat sini, Turut cedera dalam kemalangan itu, pasangan suami isteri terbabit, Mohd Sazwadi Sidik, 23, yang juga pemandu van, Nur Alilidiana Mazlan, 20, ibu Nur Alilidiana, Hartini Ibrahim, 39, tiga adiknya yang dikenali Piza, 19, Khairudin, 17 dan Wafinuddin, 4.


Bagaimanapun, dua lagi mangsa yang cedera membabitkan sebuah kereta Proton Wira sudah dihantar ke Hospital Kuala Krai (HKK) untuk rawatan segera, manakala identiti mereka belum diperoleh pihak berkuasa.

Difahamkan, kemalangan terbabit berlaku ketika van berkenaan dalam perjalanan ke simpang masuk rumah mereka di Ladang Serasa sebelum bertembung dengan Proton Wira dinaiki dua lelaki menyebabkan kenderaan dinaiki mereka terhumban ke dalam longkang.


Adik ipar mangsa, Piza berkata, ketika kejadian, bayi berkenaan berada di pangkuan ibunya yang duduk di bahagian depan sebelum tercampak di tengah jalan sejurus kemalangan berlaku membabitkan kedua-dua kenderaan itu.


“Tidak dapat saya lupakan kejadian yang sungguh tragis dan memilukan. Bayi yang berada dalam dakapan ibunya tiba-tiba terlepas dari pelukan, menyebabkannya tercampak dari van berkenaan dan mengalami cedera parah sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

“Selain itu, semua ahli keluarga dalam keadaan cedera parah termasuk abang ipar yang tersepit di dalam van berkenaan sebelum mendapat bantuan orang ramai yang berada di situ,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. Jenazah bayi berkenaan sudah dikebumikan di kampung datuknya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kerinting dekat sini, malam kelmarin.

2 comments:

Adzrien Shoppe said...

sedihnya... baru habis pantang. anak sulung pula. alfatihah, yg pasti si kecil menunggu di syurga.

Shiema Sufian said...

sedihnya. inalillah -.-'

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...