Tuesday, May 24, 2011

cintailah org yang menyintai kita setulus hati 7

Aku terlalu rindukan Izham. Kenapa Izham tiba-tiba sahaja menghilangkan
diri. Sudah lama dia tak menghubungi aku. Hampir 3 bulan aku tak mendengar
suaranya. Izham masih lagi di London. Dahulu, di awal usia perkahwinan
kami Izham sering menelefon aku. Suaranya benar-benar memberi aku
semangat. Izham tahu mengenai masalah aku dan Harriz. Dia juga tahu
rancangan aku mengenai 'perkahwinan kontrak' ini. Izham langsung tidak
memarahi aku. Dia tahu bahawa aku menerima Harriz bukan atas dasar cinta
tapi atas dasar hormat aku pada ayah. Dia jugalah yang menyokong aku dan
katanya lagi bahawa dia sanggup menunggu aku bukan saja setahun malah
selama hayatnya masih hidup dia sanggup menanti aku. Aku dapat rasakan
ketika itu akulah wanita yang paling bertuah kerana dapat memiliki cinta
Izham yang betul-betul ikhlas menyayangi aku.
Namun suara Izham hanya dapat aku dengar 3 bulan yang lalu. Di mana Izham
sekarang? Mungkinkah dia terlalu bosan menunggu dan terus menunggu
kehadiran aku dalam hidupnya? Ahh... kalau aku jadi Izham pun sudah pasti
perkara yang sama akan aku lakukan. Satu tahun bukannya tempoh yang
singkat. Sedangkan hati boleh berubah inikan pula penantiannya yang boleh
dianggap satu angan-angan yang tak pasti. Ini semuanya berpunca daripada
Harriz. Kadangkala aku terlalu bencikan Harriz tetapi kehadiran Harriz
jugalah sedikit sebanyak telah mengubah hidup aku. Tidak dapatku sangkal
bahawa dia seorang suami yang baik, dan benar-benar mengambil berat
tentang diri ini. Aku sahaja yang tidak pernah menghargai kehadirannya
dalam hidup aku. Tiada lelaki lain selain Harriz yang tulus ikhlas
menyayangi, menyintai, dan menghormati aku. Bila
difikir-fikirkan, aku rasa bertuah kerana punya seorang suami yang terlalu
memahami aku. Memanjakan aku seolah-olah aku ini budak kecil yang perlu
didodoi. Aku sakit dia menjadi doktorku, aku lapar dia menjadi tukang
masakku malah bila aku terlambat ke pejabat dia sanggup menghantarku
sedangkan ketika itu dia punya urusan lain. Tapi, kenapa mesti Harriz?
Bukan Izham?
Tiba-tiba saja hati aku terdetik, mungkinkah jodohku memang bersama
Harriz. Sisa-sisa hayatku adalah hidup bersama Hariz sehingga aku mati. Di
mana Izham sekarang? Kenapa dia menghilangkan diri? Sudah tiada lagi
cintakah di dalam hatinya untukku? Atau aku sahaja yang mengangankan
sesuatu yang bukan milikku. Sedangkan sesuatu yang sudah tentu menjadi
milikku aku abaikan begitu saja. Antara Harriz dan Izham?? Siapa yang
harus aku pilih? Ooohhh...Terlalu sukar hidup ini.
"Masih panas lagi suhu badan awak ni. Saya bawa awak ke klinik.." Aku
ingat lagi peristiwa pertama yang mencetuskan rasa sayang aku pada Harriz
dan wujudnya rasa cinta dan kasih di hati ini pada Harriz. Ketika itu aku
demam panas. Memang aku tak mampu nak berbuat apa-apa kerja ketika itu.
Nak bangun dari katil pun tak terdaya. Mungkin waktu itu aku terlalu
rindukan Izham dan dalam masa yang sama aku juga sibuk dengan
kerja-kerjaku di pejabat.
"Tak pe, saya sihat. Panas sikit je. Lepas makan Panadol, sihatlah. Awak
tak payah nak risaukan saya. Saya tahu apa yang saya buat. Awak buatlah
kerja awak. Jangan ganggu saya, boleh tak?" Aku meninggikan suara. Tapi
bukannya aku marahkan Harriz, cuma aku tak tahan dengan kesakitan di
kepala yang aku alami. Harriz masih tak berganjak. Dia meletakkan
tangannya di dahiku. Aku menepis dengan kuat tangan Harriz. Berkerut-kerut
dahiku menahan sakit. Aku cuba bangun tapi tak mampu. Dengan pantas tanpa
pedulikan kemarahanku, Harriz terus mendukungku keluar dari bilik. Aku
benar-benar terkejut dengan tindakannya. Habis tubuh Harriz menjadi
sasaran aku untuk memukul.

bersambung..........................

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...