Tuesday, May 24, 2011

cintailah org yang menyintai kita setulus hati 2

Hampir dua tahun hubungan kami terjalin. Tiada sebarang masalah di antara
kami sepanjang perhubungan itu. Pertengkaran kecil adalah perkara biasa
bagi kami. Seringkali juga kawan-kawan aku menasihatkan supaya berpisah
dengan Izham kerana dia bukanlah seperti apa yang aku sangka. Dia adalah
Romeo. Banyak kali mereka terserempak dengan Izham bersama gadis-gadis
lain. Aku yang bodoh kerana tidak pernah percaya dengan kata-kata mereka.
Pada fikiran aku ketika itu, mereka terlalu cemburukan aku. Itulah
sebabnya mereka memfitnah Izham supaya hubungan kami putus dan mereka
boleh mengambil kesempatan memenangi hati Izham. Sehinggakan aku hampir
hilang kawan hanya semata-mata kerana terlalu mempercayai Izham.
Selepas tamat pengajian, aku pulang ke Malaysia. Izham masih di London
kerana tempoh pengajiannya ada lagi setahun. Ketika itulah detik hidup aku
bersama Harriz bermula. Aku telah dijodohkan dengan Harriz oleh ayahku.
Entah mengapa, ayah terlalu sukakan Harriz sedangkan Harriz hanyalah
pekerja bawahan ayah. Dia bukanlah dari keluarga yang senang dan setaraf
dengan kami. Namun, ayah tidak mengambil kira itu semua. Kata ayah, Harriz
mampu menjaga aku sebagaimana ayah dan ibu menjaga, mendidik dan
membesarkan aku. Dia percayakan Harriz sehinggakan dia pernah berkata
segala hartanya termasuk aku akan diserahkan kepada Harriz andai satu hari
nanti dia pergi buat selama-lamanya. Kepercayaan ayah terhadap Harriz
memang tiada batasan, begitu juga dengan ibu. Aku tahu, ayah ada penyakit
yang kronik iaitu sakit jantung dan darah tinggi. Aku tak sanggup untuk
menolak permintaan ayah. Mereka adalah segala-galanya untuk aku. Betapa
perit dan payahnya mereka membesarkan aku. Ayah juga bukanlah dari
keluarga yang senang tetapi berkat kerajinan dan semangat ayah yang tinggi
serta dorongan ibu membuatkan aku dapat menikmati hidup ini dengan segala
kemewahan yang tak dapat aku bayangkan. Tapi, aku juga inginkan kehidupan
aku sendiri.
Berhari-hari aku memikirkan keputusan ayah samada untuk menerima atau
sebaliknya. Kesihatan ayah tidak mengizinkan aku untuk berfikir lama.
Akhirnya, persetujuan dibuat dan dalam diam-diam aku juga turut membuat
perjanjian dengan Harriz lelaki yang tidak pernah aku temui. Aku bencikan
Harriz kerana aku menyangka Harriz bukanlah seperti apa yang ayah
bayangkan. Dia mungkin mempunyai rancangan yang besar untuk merampas
kekayaan kami dengan mengahwini aku dan berpura-pura baik di hadapan ayah
dan ibu.
"Selepas kita bernikah, saya haramkan awak untuk menyentuh saya. Kita
hanya berlakon di hadapan ayah dan ibu saya begitu juga dengan keluarga
awak. Selepas setahun, awak ceraikan saya. Ini dah termaktub dalam
perjanjian kita."

bersambung.............

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...