Tuesday, May 24, 2011

cintailah org yang menyintai kita setulus hati 5

Jam menunjukkan pukul 2.00 pagi. Aku tiba lewat di rumah. Tapi, bukan
kerana banyak kerja di pejabat cuma aku sengaja pulang lambat supaya
Harriz menyangka aku perempuan yang selalu balik lewat malam kerana puas
berseronok di luar. Terjengket-jengket kaki aku melangkah masuk. Suasana
gelap menyelubungi rumah banglo dua tingkat pemberian hadiah ayah sempena
perkahwinan kami. Mujurlah hanya aku dan Harriz yang tinggal di sini.
Kalau tidak, tentu aktiviti kami akan terbongkar lebih awal. Minta-minta
Harriz akan memarahi aku kerana pulang lewat. Aku berjalan perlahan-lahan
menuju ke tangga tapi aku telah terlanggar sesuatu yang besar di hadapan.
Hampir terjatuh aku dibuatnya namun, mujur ada seseorang yang sempat
memaut pinggangku supaya tidak terjatuh. Berderau darah dibuatnya. Lampu
ruang tamu dipasang...
Aku tergamam. Pinggangku masih lagi dipaut oleh Harriz. Mata bertentang
mata. Hampir beberapa saat aku tidak bercakap. Tersedar dari lamunan, aku
pantas menolak Harriz ke tepi. Wajahku mula berubah. Merah padam jadinya.
Marah bercampur malu benar-benar ada dalam diri aku sekarang
"Awak ni kenapa?!! Macam pencuri!! Nasib baik saya ni tak ada sakit
jantung. Dah pukul 2.00 pagi. Awak tak reti-reti nak tidur?" Aku memarahi
Harriz.
"Saya tunggu awak...."
"Tak payah nak tunggu-tunggu. Saya ni bukannya budak kecik lagi. Saya tahu
pukul berapa saya nak balik. Awak ni orang gaji saya ke?"
"Awak dah makan? Hari ni saya masak lauk kegemaran awak, masak lemak cili
api ikan keli. Awak mesti suka. Mari makan sama, saya tak makan lagi ni."
Harriz mempelawa aku. Masak lemak cili api ikan keli? Terliur aku
dibuatnya. Aku memang tengah lapar gila ni. Maklumlah, satu hari aku tak
makan apa. Tengah hari tadi tak keluarpun sebab kerja banyak. Petang pula
ada mesyuarat. Bila dah habis kerja, aku pulak yang sengaja
balik lewat hanya semata-mata nak nak sakitkan hati Harriz. Sampai pukul
1.30 pagi aku duduk di pejabat. Tak terfikir nak makan pun. Sekarang, dah
lapar. Bodoh betul aku. Takkanlah aku setuju nak makan dengan dia.
Habislah rancangan aku nak bagi dia marah.
"Awak ni pandai masak ke? Saya ni memilih orangnye. Takpelah saya dah
kenyang. Dah makan kat luar pun. Awak nak makan, awak makanlah sorang."
Aku pura-pura menguap di hadapannya "Ahh.. ngantuknya.."
"Saya tahu awak belum makan lagi. Awak tentu lapar." Harriz terus menuju
ke ruang makan. Dia membuka tudung saji dan menyendukkan nasi untuk aku
dan dirinya sendiri. Beria-ia benar dia mengajak aku. Macamana dia tahu
aku tak makan? Aku masih lagi tercegat di antara ruang tamu dan ruang
makan.
Sesekali aku menjeling ke arah Harriz yang sedang leka menyiapkan makan
malam yang rasanya dah boleh jadi makan pagi. Sanggup dia tak makan kerana
menunggu aku semalaman. Boleh percaya ke lelaki ni? Jangan-jangan dah
siap makan. Saja nak tarik perhatian aku supaya simpati kat dia. Aku
pantas menaiki tangga meninggalkan Harriz.
"Awak tak nak makan? Tak sakit perut ke, awak? Nanti, kalau awak jatuh
sakitkan susah..." Harriz menasihati aku. Langkahku terhenti.
"Awak tak faham bahasa Melayu? Kan saya dah cakap, saya dah kenyang. Kalau
awak nak makan, awak makanlah sorang. Saya nak naik atas, nak mandi dan
tidur. Awak jangan ganggu saya!!" aku bentak keras.
"Tak pelah, saya makan dulu. Nanti, kalau awak rasa lapar, awak makanlah
ye. Pergilah awak berehat," Harriz mengakhiri perbualan kami. Aku terus
naik ke atas dengan perut yang benar-benar lapar. Rasa nak terbalik dunia
ni. Ya Allah laparnya. Hanya Tuhan saja yang tahu. Kenapalah aku boleh
bertindak bodoh. Dah ada orang siap masak, aku saja yang sombong tak
bertempat. Sekarang, siapa yang merana? Bukankah aku...?
Itu baru satu keadaan di mana dia boleh bertahan dengan sikap aku. Tapi,
kali ini aku pula yang tak tahan dengan keadaan kami apabila terpaksa
berlakon di depan ayah dan ibu sewaktu kedatangan mereka ke rumah kami.
Dari berdiri jarak 50 meter kini dah rapat macam belangkas. Dari muka
yang masam macam cuka kini aku terpaksa senyum meleret. Aku kena memainkan
peranan sebagai isteri dan Harriz sebagai suami sedangkan gelaran itu
memang ada pada kami. Terasa kaku aku pada permulaan watak tetapi Harriz
bijak memainkan peranannya sebagi suami.
"Berapa lama mak dan ayah nak tinggal di sini?" Aku mengajukan soalan
sebaik sahaja ibu dan ayah duduk di ruang tamu selepas kami menjamu selera
tengah hari itu. Percaya atau tidak, semua masakan dimasak oleh Harriz
tapi dia memberitahu ibu dan ayah yang aku memasaknya. Ibu tersenyum
menggeleng.

bersambung..................................

cintailah org yang menyintai kita setulus hati 4

Kini, telah hampir seminggu aku menjadi isteri kepada seorang lelaki yang
tidak aku cintai. Majlis perkahwinan yang diadakan amat meriah tetapi aku
tidak merasai keseronokan itu. Mungkin Harriz juga begitu. Perhubungan
aku dan Harriz memang terbatas. Itu adalah syarat aku sendiri sebelum
Harriz melafazkan akad nikah. Kami hanya berpura-pura mesra di hadapan ibu
dan ayah tetapi di sebalik tabir kehidupan kami, tidak wujud kemesraan
tersebut. Harriz benar-benar memberi kerjasama yang baik. Kadangkala
simpati aku menjengah di hati kecilku. Pernah aku menasihati dia supaya
melepaskan aku sebelum tamat kontrak perkahwinan kami tapi Harriz bukanlah
lelaki yang senang dipujuk rayu.
"Saya seorang yang menepati janji. Walau hati ini berat untuk berpisah
dengan awak, saya tetap akan patuhi syarat awak bahawa kita hanya bercerai
selepas tamat tempoh kontrak. Awak sendiri tahu bagaimana perasaan saya
pada awak. Tidak munasabah andai saya menceraikan awak sekarang. Kalau
boleh, saya mahu takdir membuka pintu hati awak untuk menerima cinta saya
dan menyayangi saya sebagaimana tulus dan sucinya cinta saya terhadap
awak."
Tiba-tiba Harriz memegang tangan kananku ketika aku sedang mengikat rambut
lantas diciumnya perlahan seolah-olah aku ini bagaikan puteri yang sedang
berhadapan dengan rakyat biasa. Berderau darahku ketika itu. Aku
menjarakkan diri. Bulat mataku memandangnya. Tanpa segan renungan Harriz
semakin tajam memandang ke arah aku. Aku gementar. Rasa marah dan geram
wujud dalam diri ini. Harriz cuba untuk memperdayakan aku dengan kata-kata
manisnya.
"Tolong jangan bersikap kurang ajar! Sudah cukup selama ini saya bertahan
dengan sikap dan perangai awak!! Awak jangan umpan saya dengan kata-kata
manis awak tu. Saya tak akan terpengaruh. Kontrak tetap kontrak. Biarpun
setahun atau dua tahun atau selama-lamanya, saya tidak akan mencintai awak
atau belajar untuk menyintai awak!!
"Cinta saya hanyalah untuk Izham. Awak tahu bukan? Izham lebih dahulu
hadir dalam hidup saya tapi awak merosakkan segala-galanya dengan
memperalatkan ayah dan ibu saya. Saya bukan macam mereka. Itu sahaja yang
awak perlu tahu!!" Bentakku tiba-tiba dengan penuh berani.
Aku sendiri terkejut dengan tindakan aku. Dari mana aku dapat kekuatan
untuk melawan perasaan aku? Aku memaling ke arah lain. Terasa semangat
untuk mempertahankan diri wujud dalam diri ini. Mungkin kerana rindu aku
pada Izham semakin kuat dan kesalahan aku pada Izham juga berat.
Harriz hanya diam. Sedikit sebanyak nampak juga perbezaan di raut wajahnya
yang mungkin terkejut dengan kata-kata amarahku yang tiba-tiba.
"Maafkan saya kerana buat awak marah. Saya tak ada niat untuk menyakitkan
hati awak, Nurul Ain. Saya harap kita masih boleh jadi kawan," ringkas
sahaja kata-kata Harriz kali ini. Aku masih tidak memandang wajah Harriz.
"Nampaknya dah masuk waktu solat Isyak sekarang. Mari, kita berjemaah,"
pelawa Harriz lembut. Aku memandang wajahnya. Dia tersenyum, "Saya tunggu
di bilik." Harriz berlalu pergi meninggalkan aku di ruang tamu. Perasaan
marahku sudah reda. Malu pun ada bila mengenangkan kembali kemarahan aku
yang berapi-api itu. Nampaknya Harriz masih boleh buat muka selamba
sedangkan sudah berbakul-bakul aku memarahinya sepanjang dia duduk di
rumahku.
Tidak tahu bagaimana lagi untuk aku mewujudkan rasa benci dalam diri
Harriz supaya dia membenci aku. Kini, perkahwinan kami sudah hampir 3
bulan. Ayah dan ibu pula sudah bertanya tentang keadaan kesihatan aku. Itu
tidak lain dan tidak bukan mesti berkaitan dengan hal anak. Bagaimana aku
nak memberitahu mereka bahawa aku ini masih suci lagi. Harriz tidak pernah
menyentuh aku walaupun dia berpeluang. Dia benar-benar mengikut segala
kontrak yang ditulis oleh aku itu supaya tidak menjalinkan apa sahaja
hubungan dengan aku. Aku bertambah bingung. Segala apa yang aku lakukan
semuanya tidak menjadi. Harriz masih lagi menyayangi dan menyintai aku.
Aku dah tak tahu nak buat apa. Aku rindukan Izham di saat-saat begini. Aku
kesunyian. Tanpa Izham aku rasa kehilangan. Kadangkala aku nampak bayangan
Izham dalam diri Hariz. Sampai bila aku mampu bertahan. Harriz terlalu
baik terhadap aku. Hanya perempuan gila sahaja seperti aku yang tidak
jatuh cinta padanya setelah pelbagai cara dia lakukan untuk menambat hati
aku. Aku juga manusia biasa. Cinta akan datang dan pergi sesuka hati dalam
hidup ini. Apakah perasaan aku terhadap Harriz sekarang? Aku semakin
bingung dengan kehidupan yang aku lalui kini.

bersambung......................

cintailah org yang menyintai kita setulus hati 3

Aku tidak berani memandang wajah Harriz ketika kami berjumpa buat pertama
kalinya di sebuah restoran. Aku akui, Harriz memang tampan orangnya malah
lebih kacak daripada Izham. Sedikit sebanyak hati perempuan aku mulai
cair namun aku pantas melarikan fikiranku pada perkara yang lain. Harriz
merenung aku tanpa berkelip mata. Aku gelabah. Langsung tidak dibaca
perjanjian MOU yang aku letak di hadapannya. Sakit hati aku dibuatnya
ketika itu. Aku kuatkan semangat untuk memandang Harriz dan cuba berlagak
serius.
"Tuhan kurniakan mata untuk melihat apa yang ada di hadapan kita. Saya dah
letakkan fail perjanjian kita di hadapan awak. Takkan awak tak tahu nak
menggunakan mata awak tu untuk melihat apa yang patut?" Aku memerli
Harriz. Dia cuma tersenyum. Masih tidak puas menatap wajah aku. Seluruh
pelusuk wajahku dijajahnya.
"Memang Tuhan anugerahkan mata untuk melihat. Sekarang, saya sedang
melihat satu lagi anugerah Tuhan yang diberikan kepada saya. Kecantikan
yang tidak pernah saya bayangkan, tapi sekarang baru saya tahu bahawa
sungguh indah alam ini dengan adanya wanita secantik awak, Nurul Ain Bt
Hamdi..." Ungkapan pertama keluar dari mulut Harriz.
Aku tersedak, hampir tersembur fresh orange yang sedang kuminum. Pantas
tanganku mencari tisu di dalam beg tangan. Harriz masih tersenyum. Merah
padam muka aku menahan malu. Bijak sungguh Harriz bermain dengan
kata-kata. Aku hampir terpedaya dengan pujiannya. Ahh...Lelaki, semuanya
sama...
"Tapi sayang, awak tidak menggunakan kecantikan awak itu untuk
melambangkan hati awak. Buat pengetahuan awak, saya ini bukanlah seperti
apa yang awak bayangkan. Niat saya ikhlas untuk memperisterikan Nurul Ain
Bt Hamdi. Jangan kerana awak kaya dan hidup mewah, awak takut saya akan
merampas semuanya itu dari tangan keluarga awak. Terus terang saya
katakan, seandainya awak ini adalah gadis cacat yang kudung tangannya atau
bisu mulutnya saya tetap akan mengahwini awak walau awak miskin sekalipun.

"Bagi saya, harta boleh dicari tapi cinta yang tulus suci hanyalah wujud
sekali dalam hidup kita dan awak adalah wanita yang berada di dalam hati
saya sekarang sehinggalah saya tidak bernafas lagi di atas bumi bertuah
ini." Harriz tersenyum lagi.
Aku pula tergamam. Macam mana dia boleh mengenali aku sejauh begitu.
Kata-katanya kedengaran seolah-olah kami pernah berjumpa. Tapi, aku rasa
tidak kerana inilah kali pertama aku melihat wajahnya. Sungguh pelik orang
ini. Harriz membuka fail biru itu. Tanpa dibaca walau sebaris ayat pun,
dia mengambil pen dari poket bajunya lantas ditandatangani MOU tersebut.
"Awak tak berniat nak baca MOU itu sebelum awak sign?" Aku memberanikan
diri untuk bertanya pada Harriz. Sekali lagi dia memandang aku dengan
pandangan yang penuh bermakna baginya.
"Kalau saya baca, adakah niat awak itu akan berubah untuk menerima saya
bagaimana ikhlasnya saya menerima awak?" Terperangkap lagi aku dengan
kata-katanya. Entah kenapa di mana hilangnya marah aku dan semangat aku
ketika itu. Lelaki ini benar-benar lain. Tidakkk!!..... Aku bukan mudah
untuk menerima dia. Cinta aku pada Izham masih kuat. Harriz bangun. Air
minuman yang dipesan tidak disentuh, masih suci sepertimana aku.
"Assalamualaikum...." Itulah kata-kata terakhir yang diucapkannya sebelum
meninggalkan restoran itu. Aku terpinga-pinga. Pelik dan aneh lelaki ini.
Sebelum aku berjumpa dengan Harriz, terlalu banyak kemusykilan tentangnya
yang berlegar-legar di dalam fikiran aku. Kini pada pertemuan pertama
kami, semakin bertambah kusut fikiran aku memikirkan tentang Harriz.
Siapakah dia sebenarnya? Apakah yang dia mahu daripada aku? Atau adakah
dia memang benar-benar tulus mencintai aku. Ahhhhh....makin difikir, makin
pening aku dibuatnya.

bersambung...................

cintailah org yang menyintai kita setulus hati 2

Hampir dua tahun hubungan kami terjalin. Tiada sebarang masalah di antara
kami sepanjang perhubungan itu. Pertengkaran kecil adalah perkara biasa
bagi kami. Seringkali juga kawan-kawan aku menasihatkan supaya berpisah
dengan Izham kerana dia bukanlah seperti apa yang aku sangka. Dia adalah
Romeo. Banyak kali mereka terserempak dengan Izham bersama gadis-gadis
lain. Aku yang bodoh kerana tidak pernah percaya dengan kata-kata mereka.
Pada fikiran aku ketika itu, mereka terlalu cemburukan aku. Itulah
sebabnya mereka memfitnah Izham supaya hubungan kami putus dan mereka
boleh mengambil kesempatan memenangi hati Izham. Sehinggakan aku hampir
hilang kawan hanya semata-mata kerana terlalu mempercayai Izham.
Selepas tamat pengajian, aku pulang ke Malaysia. Izham masih di London
kerana tempoh pengajiannya ada lagi setahun. Ketika itulah detik hidup aku
bersama Harriz bermula. Aku telah dijodohkan dengan Harriz oleh ayahku.
Entah mengapa, ayah terlalu sukakan Harriz sedangkan Harriz hanyalah
pekerja bawahan ayah. Dia bukanlah dari keluarga yang senang dan setaraf
dengan kami. Namun, ayah tidak mengambil kira itu semua. Kata ayah, Harriz
mampu menjaga aku sebagaimana ayah dan ibu menjaga, mendidik dan
membesarkan aku. Dia percayakan Harriz sehinggakan dia pernah berkata
segala hartanya termasuk aku akan diserahkan kepada Harriz andai satu hari
nanti dia pergi buat selama-lamanya. Kepercayaan ayah terhadap Harriz
memang tiada batasan, begitu juga dengan ibu. Aku tahu, ayah ada penyakit
yang kronik iaitu sakit jantung dan darah tinggi. Aku tak sanggup untuk
menolak permintaan ayah. Mereka adalah segala-galanya untuk aku. Betapa
perit dan payahnya mereka membesarkan aku. Ayah juga bukanlah dari
keluarga yang senang tetapi berkat kerajinan dan semangat ayah yang tinggi
serta dorongan ibu membuatkan aku dapat menikmati hidup ini dengan segala
kemewahan yang tak dapat aku bayangkan. Tapi, aku juga inginkan kehidupan
aku sendiri.
Berhari-hari aku memikirkan keputusan ayah samada untuk menerima atau
sebaliknya. Kesihatan ayah tidak mengizinkan aku untuk berfikir lama.
Akhirnya, persetujuan dibuat dan dalam diam-diam aku juga turut membuat
perjanjian dengan Harriz lelaki yang tidak pernah aku temui. Aku bencikan
Harriz kerana aku menyangka Harriz bukanlah seperti apa yang ayah
bayangkan. Dia mungkin mempunyai rancangan yang besar untuk merampas
kekayaan kami dengan mengahwini aku dan berpura-pura baik di hadapan ayah
dan ibu.
"Selepas kita bernikah, saya haramkan awak untuk menyentuh saya. Kita
hanya berlakon di hadapan ayah dan ibu saya begitu juga dengan keluarga
awak. Selepas setahun, awak ceraikan saya. Ini dah termaktub dalam
perjanjian kita."

bersambung.............

cintailah org yang menyintai kita setulus hati

Harriz. Satu nama yang cukup aku kenal satu ketika dahulu. Dia pernah
menjadi suami aku. Suami yang bergelar hanya pada nama tapi tidak pernah
memiliki sepenuhnya jiwa dan hati aku ketika itu. Perkahwinan yang
berlandaskan kertas putih dengan seribu perjanjian yang boleh menjatuhkan
maruah seorang suami. Aku tahu, Harriz tidak pernah mempersetujui dengan
apa yang aku lakukan sebelum kami mengikat tali perhubungan yang suci.
Namun, kerana sayang dan cintanya pada aku dia menerima niat aku tanpa
sebarang bantahan yang keluar dari mulutnya. Kenapa Izham tidak seperti
Harriz? Sungguh berbeza nilai dan peribadi mereka antara satu sama lain.
Harriz terlalu baik tapi hati aku tidak dapat menerima cintanya.
Kenapa?.....Dia cukup sempurna untuk menjadi seorang suami dan pemimpin
yang boleh menjaga aku sehingga ke akhir hayat. Adakah aku yang terlalu
bodoh untuk menolak cintanya yang tulus dan ikhlas menyayangi aku, atau
keegoan aku yang menguasai diri.
"Saya menerima awak bukan atas paksaan sesiapa tapi hati ini yang ikhlas
mencintai awak. Saya tahu taraf awak dan saya berbeza ibarat langit dan
bumi tetapi untuk membahagiakan awak, itu adalah jaminan saya sebagai
bukti bahawa saya menyayangi awak. Walaupun kontrak kita hanya setahun
tapi cinta saya sampai ke mati.
"Biarpun kita akan berpisah nanti, namun untuk menghilangkan ingatan saya
terhadap awak adalah amat sukar. Sekali saya dah letakkan awak dalam hati
saya bermakna awaklah gadis pertama dan terakhir yang saya cintai walau
awak membenci saya seumur hidup awak......"
Kata-kata itu masih aku ingat sampai sekarang. Keegoan aku ketika itu
mulai luntur tapi hati aku keras. Aku menolak cintanya mentah-mentah
kerana bagi aku, lelaki mudah mengeluarkan kata-kata manis namun untuk
membuktikannya adalah satu dalam sejuta. Aku tidak mempercayai Harriz.
Bagi aku, Izham lelaki pertama yang mencuri hati aku adalah terlalu
sempurna untuk aku. Aku bertemu dengan Izham sewaktu kami menyambung
pengajian di London. Izham bijak memainkan kata-katanya dengan rupa
parasnya yang kacak itu untuk menambat hati aku. Hanya dunia sahaja yang
tahu bagaimana gembiranya hati aku ketika itu dapat berpasangan dengan
Izham , seorang lelaki yang menjadi rebutan gadis-gadis lain di luar sana.

bersambung.............................

Saturday, May 21, 2011

Tak kan nak bergantung pada ubat ja!!!

Adoiii...sakit mai lagi !!!!...tp cepat2 aku telan ubat daaa..alhamdulillah dpt aku tulis blog mlm ni..hihihi..syukur sgt2..(cewah mcm la selalu aku update...wahahaha)..sebenar nya aku kena mkn ubat tu tiap2 hari tp aku mls la nk bergantung sgt dgn ubat nii...lebih baik cuba elakkan..ye tak?? eh lupa lak nk citer aku ni sakit apa ... hehehe..tak de la penyakit berat pun..GASTRIK je...jgn kata gastrik ni biasa je..huihhh..korang tak kena tak pe laa..sekali kena baru tau..aku sblm ni pun tak penah jd gitu..baru2 ni je lebih kurg 2 mggu lps...jenuh ulang alik ke klinik dgn hospital tau..ubat yang diorg bg memula tu tak ada kesan langsung...mau nye aku tak pegi berkali2...sekarang ni ubat yg doktor bg ok sgt..dia cakap ubat ni paling kuat dah...sbb kata nye gastrik aku ni agak teruk la sbb sekali dgn muntah...dah 3 ke 4 hr aku tak mkn ubat tuu...tup2 hari ni sakit lak..tp kan smlm pun sakit gak...aku terlebih mkn agaknya..bila muntah rasa ok je...so aku ni tak leh mkn bnyk sgt la...nk buat macam mana nafsu mkn besor...hahaha...tu je la yg aku nk cerita mlm ni....dok fikir2 gak bulan puasa dah tak lama dah...camna la aku nk puasa kalau gastrik ni...hihihi....

Friday, May 20, 2011

sakit hati la kat org tuuuuu...geram!!!!!

huhhh...sakit hati betui la aku kat pegawai tu...dah kawan2 aku dok tunggu nk naik kapal terbang tuu....ada ke patut dia x bg aku masuk..adehhh...aku ada tiket semua nya..tp naper la aku x leh nk masuk..aku menjerit sekuat hati..."bagi la aku masukkkkk"....pegawai tu sengeh je..hampeh betui laaa....aku kena pegi kl sbb bos aku suruh pegi...aku jerit lagi..dia selamba nye wat x tau...geram la aku...paling aku geram bila org di belakang aku boleh pulak masuk..tp aku tetap dia x bg...naperrrrrrrrrrr?????? huhhh....aku try cari jalan lain nk masuk...aku pusing bangunan tuu...tgk2 kapal terbang tu dah gerak..adoooiiiii......tau2 anak aku merengek nk susu..aku pun terjaga la dr mimpi tuuu....wahahahahaha...mimpi tu mmg menyakitkan hati akuu..bila terjaga je aku leh rasa geram kat pegawai yg x bagi aku masuk tuuu...(sebenarnya aku x penah pun naik kapal terbang....hahahaha)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...